Thursday, 5 April 2012

Cinta Hatib dan Ummi Qais

Assalamualaikum..

HADIS 1:



عن أمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِ صلى الله عليه وسلم یَقُولُ:  إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كانت هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ كانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍ یَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu

Hadis ini telah dilafazkan oleh Nabi Muhammad pada masa seorang lelaki berpindah dari Makkah ke Madinah semasa peristiwa Hijrah demi semata-mata kerana mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais dan tidak berhijrah dengan sebab Islam. 

Sekali peristiwa, diceritakan bahawa ada seorang sahabat yang bernama Hatib telah mencintai seorang gadis rupawan yang bergelar Ummi Qais. Sebagai kebiasaannya orang yang bercinta, Hatib berusaha agar si gadis itu dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummi Qais sewaktu mereka sama-sama berada di Makkah lagi, akan tetapi, oleh kerana kemalangan nasibnya, gadis itu telah menolak peminangan Hatib. Kemudian Ummi Qais pun berhijrahlah pula bersama2 orang2 Islam yang berhijrah ke Madinah. 

Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Hatib, dia merasa amat berdukacita. Oleh kerana terlalu merindukan Ummi Qais, Hatib lalu mengambil keputusan untuk berhijrah menjejaki langkah Ummi Qais ke Madinah, dengan harapan agar dia dapat memikatnya dan memujuknya semula sewaktu di Madinah nanti. 

Jadi nyatalah sudah bahwa hijrahnya Hatib itu bukanlah semata-mata kerana tujuan asal berhijrah ke sana; iaitu untuk mencari tempat perlindungan bagi agamanya. Tetapi di sebalik itu, ada maksud yang lain yang lebih diutamakannya; iaitu moga-moga ia dapat menukar keputusan Ummi Qais yang lalu dan moga-moga Ummi Qais akan menerimanya pada kali ini, sebab hatinya sangat sayang dan mencintai Ummi Qais. 


Cerita hijrahnya Si Hatib sepenuhnya telah disampaikan kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itulah, maka Hadis ini telah disabdakan, iaitu: 

"Dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia (sebab-sebab keduniaan) yang ia ingin memperolehinya, ataupun kerana seorang perempuan yang ia ingin menikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya." [Bukhari & Muslim] 

Maksudnya: Tiadalah ia mendapat pahala apa pun dari hijrah yang telah ia lakukan itu. Sebab orang lain berhijrah membawa dirinya dan agamanya agar terselamat dan fitnah kekufuran yang mengancamnya di negeri Makkah, semata-mata kerana mentaati perintah Allah dan RasulNya. Akan tetapi maksud utama hijrah Hatib ada yang lain; iaitu keinginan hati untuk menawan Si gadis kecintaannya, sebab itu Rasulullah SAW telah mencelanya secara indirect (tidak langsung) dengan menyabdakan Hadis tersebut di atas tadi. 

Bagi kita kaum Muslimin yang mengikuti cerita Hatib tadi, janganlah dianggap celaan itu hanya ditujukan untuk Hatib seorang saja. Bukanlah itu yang dimaksudkan. Akan tetapi di sebalik peristiwa Hatib itu ada pengajaran lain yang harus kita perhatikan, supaya kita tidak menjadi seperti Hatib pula, sehingga celaan itu akan menimpa kita sama. 

Dalam menjalankan perintah2 agama, janganlah hendaknya kita menyaingi ibadah2 kita itu dengan kerja2 lain yang berkaitan dengan keduniaan. Misalnya ibadah Haji. Ada orang yang menyaingi ibadah Hajinya dengan kerja-kerja keduniaan, seperti berniaga sewaktu dalam perjalanan ke Haji, atau dalam musim Haji, kerana Keuntungannya berlipat-ganda ketika itu. Ataupun orang itu sengaja menawarkan dirinya untuk menguruskan hal-ehwal orang2 Haji tentang keperluan2nya dalam perjalanan atau sewaktu mengerjakan Haji itu, sebab seolah2 dia bekerja dengan bakal2 Haji itu, dan mungkin sekali semua wang pelayarannya pun dikutip dan berasal dari bakal2 Haji itu samada sebagai komisen ataupun faedah pekerjaannya, yang kalau tiada kerana itu,tiadalah ia akan berangkat sama untuk menunaikan Hajinya. Amalan yang serupa ini tentu sekali tiada sepenuhnya tertumpu pada Pekerjaan ibadat terhadap Allah. Oleh kerana itu dikuatiri tidak ada gunanya dan tidak ada pahalanya dari Allah s.w.t.

Lain2 misalan dalam perkara yang sama banyak sekali, dan semuanya adalah bergantung kepada niat masing2 pelakunya. Maka hendaklah kita sentiasa waspada dalam hal ini, supaya ibadah2 kita tiada dikongsi dengan amalan2 keduniaan, yang nyata sekali ditegah oleb agama, seperti dalam Hadis Rasulullah s.a.w. tersebut di atas. 

Untuk menentukan samada ibadat kita itu 100% kerana Allah atau tidak, tanyalah diri kita sendiri secara jujur dan bukan secara helah atau putar-belit, niscaya kita akan mendapati jawapannya yang betul. Seterusnya, Hadis ini, walaupun ditujukan khas kepada Hatib kerana niatnya yang telah menyeleweng dari tujuan asalnya, namun hukumnya umum ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin, walaupun sebabnya yang pertama kerana Si Hatib tadi. Sebab Rasulullah s.a.w. tidak pernah menujukan sesuatu kecelaan atau kemarahannya terhadap seseorang yang tertentu. Bahkan pengisytiharannya sentiasa umum untuk menjadi pengajaran kepada kaum Muslimin yang lain. Selain itu, Rasulullah s.a.w. adalah pemalu orangnya dan tidak pernah menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi untuk membocorkan rahsia orang di hadapan khalayak ramai, itu tentulah jauh sekali.